BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

mse itu maz ~



Tuesday 12 July 2011

Tunku Abdul Rahman ( Bapa Kemerdekaan)

Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerahThailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah,Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu. Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luaristana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya. Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang. Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertaiPengakap dan Kor Kadet. Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf. 

Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengantengkolok. Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera(Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925. Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.

Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah. Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah. Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star. Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untukPersatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.

Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976. Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung. Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.

Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965. Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967. Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, danMAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat. Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Tun Abdul Razak ( Bapa Pembangunan )

Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang. Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussein Onn, ialah penggantinya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Dato' Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam menggantikan Tun Abdullah bin Ahmad Badawi pada tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.


Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, PerakSelepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II . Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut diEngland, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK), dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden kesatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London. Selepas kepulangannya, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya dan bergiat dalam bidang politik. Disebabkan keupayaan politiknya, beliau dilantik menjadi ketua pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO. Dua tahun kemudian, Abdul Razak berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan kemudian, pada Februari 1955, beliau menjadi Pemangku Ketua Menteri Pahang sewaktu berumur hanya 33 tahun.

Selepas memenangi pilihan raya umum yang pertama di Malaya pada Julai 1955, Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Abdul Razak juga menyertai misi Februari 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan Malaya daripada pihak British. Selepas pilihan raya umum 1959, Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri Malaysia Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan Menteri Pertahanan. Pencapaian-pencapaiannya yang utama termasuk perumusan dasar pembangunan yang dikenali sebagai "Buku Merah". Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya di dalam UMNO menggulingkan Tunku Abdul Rahman serta mengisytiharkan Keadaan Darurat dan beliau memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 22 September 1970, Abdul Razak mewarisi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Abdul Razak termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEP) pada tahun 1971. Beliau dan "generasi kedua" ahli-ahli politik Melayu memperlihatkan keperluan untuk mengendalikan ketaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman. DEP menetapkan dua sasaran yang asas, iaitu mengurangkan dan pada akhirnya  menghapuskan kemiskinan; dan menghapuskan pengenalpastian fungsi ekonomi dengan kaum. Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 sebagai gantian untuk Parti Perikatan. Beliau menambahkan ahli-ahli parti untuk mengasaskan apa yang dikatanya "Ketahanan Nasional" melalui kestabilan politik. Disebabkan sebahagian oleh penyakit leukemia, Abdul Razak meninggal pada tahun 1976 sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, dan disemadikan di Makam Pahlawan, berdekatan dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Selepas kematiannya, beliau dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pembangunan.

Y.A.B Tun Hussein bin Dato' Onn ( Bapa Perpaduan )




Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12hb. Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin Ja'afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor.

Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India. Apabila perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah peperangan tamat beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten. Beliau pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam 
perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union danDatuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.




Berjuang di samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan seterusnya dalam tahun 1950
beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu bersara dari politik, beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958. Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada bulan Jun 1969 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September 1970.




Sebagai Menteri Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO.
Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Berikutnya, beliau mengumumkan satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalannya. Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara
Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN. Pada akhir tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan.



UMNO telah menunjukkan jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru hara,
Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti pembangkang. Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1978,
Barisan Nasional yang bermanifesto "A man whom you can trust" (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri. Dalam pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn berusaha sedaya upaya


bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya  menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.



Tun Dr. Mahathir Mohamad ( Bapa Pemodenan Negara )

Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.



Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970. 


Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah 
Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.

Setelah tamat pengajian, Dato’ Seri Abdullah menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Dato’ Seri Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Dato’ Seri Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian yang sama pada tahun 1974.Dato' Seri Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Dato' Seri Abdullah telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Dato' Seri Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Dato' Seri Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Januari 1999. Seterusnya, Dato’ Seri Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri. Selain itu, Dato’ Seri Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.



Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.
Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9Jun 2007

Monday 11 July 2011

YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak(lahir 23 Julai 1953) adalah Perdana Menteri Malaysia (ke-6) terkini sejak3 April 2009, selain sebagai Menteri Kewangan dan ahli parlimen Pekan, Pahang. Beliau adalah anak lelaki sulung kepada bekas perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Di peringkat akar umbi politik, beliau merupakan Presiden UMNO yang ke-7. Selain itu, ia masih memiliki darah bangsawan Makassar iaitu susur galur daripada keturunan Sultan Hassanudin, Sultan Makasar terakhir di Gowa, Sulawesi selatan. Dato' Seri Najib dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah.

Pada tahun 1976, Najib berkahwin dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dan mendapat tiga anak: Mohd Nizar Najib (lahir 1978), Mohd Nazifuddin Najib dan Puteri Norlisa Najib. Pada tahun 1987 beliau bercerai dengan Ku Yie dan berkahwin dengan Datin SeriRosmah Mansor dan mendapat dua anak lagi: Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib. Beliau juga sepupu kepada Datuk Hishamuddin Tun Hussein.
Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern diWorchestershire, England. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974. Najib mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976. Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong, akibat kematian bapanya, ketika berumur 23 tahun, dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu.

Najib menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian, pada tahun 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.
Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:
§  1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan
§  1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan
§  1982-1986 - Menteri Besar Pahang
§  1990-1995, 1999-2008 - Menteri Pertahanan
§  1995-1999 - Menteri Pendidikan
Najib juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan (Majuternak) pada tahun 1977-1979. Kepimpinan beliau teruji dan terus diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan negara. Dalam UMNO, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO mulai tahun 1981.
Pada tahun 1982, Najib memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan jawatan itu.

Pada 1987, beliau diumumkan sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO oleh Anwar Ibrahim setelah Anwar didesak bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi ketua pada 25 Mei 1988 setelah UMNO ditubuhkan semula. Pada tahun 1993 pula, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, ekoran langkah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau terus mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000.
Pada 7 Januari 2004, Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Datuk Seri Najib bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional . Beliau telah bertanding di kawasan parlimen Pekan , negeri Pahang. Datuk Seri Najib telah menang dengan mendapat undi sebanyak 36262. Calon lawan ialah Khairul Anuar Bin Ahmad Zainudin dari PKR mendapat 9,798 undi -kalah .

Saturday 9 July 2011

Bumi ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.



Pemimpin yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu sememangnya bukan sedikit.




Namun sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah. Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan 30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima cadangan Malayan Union.




Maka pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union, British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.



Dalam masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei 1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad. Terdapat juga kumpulan politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun 1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun 1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA. Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai Perikatan.




Bagi Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya menyertai Rancangan Malaysia pada 1963.