BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

mse itu maz ~



Tuesday 12 July 2011

Tun Dr. Mahathir Mohamad ( Bapa Pemodenan Negara )

Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.



Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970. 


Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

No comments:

Post a Comment